Tahukah anda bahawa satu daripada 160 kanak-kanak di dunia adalah kanak-kanak autistik?
Ini 7 perkara yang perlu anda tahu tentang autisme sempena Hari Autisme Sedunia hari ini
1. Tidak menunjukkan respon
Kanak-kanak autistik kebanyakannya tidak akan menunjukkan respon semasa berinteraksi dengan orang lain. Mereka lebih gemar mengasingkan diri seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.
2. Perkembangan bahasa berbeza
Perkembangan bahasa kanak-kanak autisme adalah berbeza bagi setiap individu. Antara masalah perkembangan bahasa adalah mereka tidak boleh bertutur dan hanya mengeluarkan bunyi. Manakala, masalah perkembangan bahasa bagi yang boleh bertutur adalah perkataan yang dikatakan tidak mempunyai makna dan sukar untuk difahami.
3. Tiada keupayaan untuk tumpu perhatian
Kanak-kanak autisme kebanyakannya tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan atau memberi respon. Ini kerana mereka tiada keupayaan untuk menumpukan perhatian.
4. Lambat dikesan oleh keluarga terdekat
Ramai kanak-kanak yang menghidap autisme lambat dikesan oleh keluarga terdekat seperti ibu bapa atau penjaga. Biasanya, penghidap autisme boleh dikenal pasti seawal usia dua atau tiga tahun. Jika anak-anak anda menunjukkan tanda-tanda ini, segera dapatkan rawatan pakar.
5. Bantuan dan rundingan
Jika anak-anak anda menunjukkan ciri-ciri ini, anda boleh mendapatkan bantuan dan rundingan dari kumpulan sokongan seperti yang tertera di laman sesawang ini.
6. Tips untuk berkomunikasi
Antara tip untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak autistik adalah memberi arahan mudah dan jelas kepada mereka. Selain itu, kanak-kanak autistik gemar untuk melakukan aktiviti secara berulang. Maka, lakukan aktiviti harian anak-anak autisme berdasarkan rutin yang dijadualkan.
7. Berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Khas dan Jabatan Kebajikan Masyarakat
Kanak-kanak autistik di Malaysia perlu berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan keperluan pendidikan. Mereka juga perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU).