Bermula 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah setiap tahun, umat Islam menjalankan ibadah korban bagi meneladani perjuangan, pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya dalam menuruti perintah Allah s.w.t.
Kisah ini dinukilkan dalam Al-Qur’an pada surah as-Saffat, ayat 102 yang bermaksud:
“Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!”
Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan kehendak Allah, engkau akan mendapatiku termasuk dari kalangan orang yang sabar.”
Tatkala Nabi Ibrahim a.s. sudah bersedia untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s digantikan dengan haiwan sembelihan yang lain.
Peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. memberi makna yang amat besar kepada seluruh umat Islam dalam kesanggupan melakukan apa sahaja demi menegakkan syiar Islam.
Moga kita semua dapat mengambil iktibar dari kisah taat setia dan ketakwaan dari keluarga Nabi Ibrahim a.s. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha buat semua umat Islam dari team Atfal Jannah.