• Main
  • News

Pengajaran Dalam Memastikan Kecukupan Rezeki Untuk Anak-anak Dalam

Pengajaran Dalam Memastikan Kecukupan Rezeki Untuk Anak-anak Dalam

PENGAJARAN DALAM MEMASTIKAN KECUKUPAN REZEKI UNTUK ANAK-ANAK DALAM SURAH AL-KAHFI

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal.

Hadith riwayat Muslim: 1342

Selain manfaat perlindungan dari fitnah Dajjal dengan menghafalnya, Surah al-Kahfi padat dengan kisah dan pengajaran lain sekiranya kita mengambil peluang untuk mentadabbur surah ini.

Salah satu kisah yang dinukilkan dalam surah al-Kahfi ialah mengenai kisah pertemuan Nabi Musa a.s dan seorang hamba Allah (dalam riwayat dikatakan Nabi Khidir a.s). Mereka telah menempuh satu perjalanan.

Sebelum memulakan perjalanan Nabi Khidir a.s. berkata kepada Nabi Musa a.s bahawa dia tidak akan dapat bersabar apabila bersamanya, Nabi Musa a.s menjawab bahawa Nabi Khidir a.s. akan mendapati dia seorang yang sabar dan dia tidak akan bertanya soalan.

Sepanjang perjalanan bersama, Nabi Khidir a.s. melakukan tiga perkara:

1. Membocorkan perahu
2. Membunuh seorang anak muda
3. Membina dinding di sebuah bandar

Dan ternyata Nabi Musa a.s. tidak dapat menahan dirinya dari bertanya mengapa Nabi Khidir a.s. melakukan perbuatan-perbuatan tersebut pada waktu ia dilakukan. Pada peristiwa ketiga akhirnya Nabi Khidir a.s menerangkan sebab-sebab atas perbuatannya dan mereka berpisah membawa haluan masing-masing.

Perahu yang mereka naiki dibocorkan kerana ia milik seorang orang miskin dan ada raja yang akan merampas setiap perahu. Dengan membocorkannya, ia menurunkan kemungkin ia dirampas yang raja yang zalim.

Anak muda itu pula dibunuh kerana khuatir akan menyesatkan ibubapanya yang beriman, anaknya itu akan digantikan dengan seorang anak lain yang lebih baik dengan kehendak Allah. Perlu kita ingati, membunuh insan itu haram dan dinyatakan bahwa Nabi Khidir a.s. tidak melakukan semuanya atas keinginannya sebaliknya ia merupakan perintah dari Allah s.w.t.

Manakala dinding itu pula dibina kerana di bawahnya tersimpan harta bagi dua orang anak yatim dari ayah yang soleh. Apabila mereka dewasa, mereka akan dapat mengeluarkan simpanannya dengan rahmat Tuhan.

Dalam peristiwa pembinaan dinding ini kita dapat fahami bahawa anak-anak ini berada dalam jagaan Allah hasil dari kesolehan bapanya. Ini merupakan peringatan yang besar buat ibubapa.

Kadangkala kita merisaukan nasib anak-anak cuma dari segi material dan dunia. Bukanlah perkara-perkara ini tidak perlu difikirkan langsung, tetapi intipati surah ini mengingatkan kita bahawa sekiranya kita ingin memastikan kelangsungan dan kecukupan bagi anak-anak, fokus utama kita adalah untuk meningkatkan ketaatan kita kepada Allah.

Bersama usaha meningkatkan ketaatan kita kepada Allah s.w.t, kita turut berusaha dalam mencari rezeki buat dinikmati oleh anak-anak.

Wallahu 'alam.


About Us